Search

Ditegur nyala lilin, lelaki mengamuk acu gunting ditahan

April 8, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan seorang lelaki mengamuk dan mengugut seorang wanita warga emas dengan mengacukan gunting membawa padah apabila dia diberkas polis dalam kejadian di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 58 tahun berada di rumah sebelum didatangi suspek yang dikenali, lalu bertindak agresif selepas ditegur kerana menyalakan lilin di ruang tamu pada waktu siang.

Suspek kemudian mengacukan gunting ke arah mangsa sehingga mencetuskan ketakutan sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, Pusat Kawalan Daerah (DCC) yang menerima maklumat kejadian segera mengarahkan pasukan MPV ke lokasi bagi tindakan lanjut.

Menurutnya, sepasukan polis peronda MPV Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Tawau berjaya mengesan suspek setibanya di lokasi.

“Suspek lelaki berusia lingkungan 35 tahun berjaya ditahan dan polis turut merampas sebilah gunting yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – Info X