KOTA KINABALU: Bahasa Melayu dikenal pasti antara tiga mata pelajaran yang mencatat pencapaian kurang baik pada peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) tahun lalu.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam, berkata dua lagi subjek ialah Tauhid dan Fiqh.
“Keputusan Peperiksaan SMU 2024 menunjukkan tiga mata pelajaran mencatat pencapaian yang rendah iaitu Tauhid, Fiqh dan Bahasa Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Keputusan Rasmi Peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) dan SMU 2024, di Wisma MUIS, di sini, hari ini.

Katanya, secara keseluruhan keputusan SMU bagi Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) mencatat penurunan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 0.03 kepada 2.92 pada tahun lalu, manakala turun 0.3 kepada 2.88 bagi keputusan SMU Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT).
Ruslan berkata, bagi mengatasi kelemahan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan memberi penekanan kepada latihan guru bagi memantapkan lagi pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
“Keduanya, kita juga akan memberi tumpuan program motivasi kepada murid dan guru bagi mencapai kecemerlangan pada masa akan datang,” katanya.
Katanya, secara keseluruhan seramai 303 calon SMU lulus pada tahun lalu dengan seramai 24 pelajar mendapat pangkat Mumtaz, diikuti Jayyid Jiddan (88), Jayyid (126) dan Maqbul (65).

Sementara itu, bagi keputusan SRU, Ruslan berkata tiga mata pelajaran dikenal pasti mencatat keputusan kurang baik pada tahun lalu iaitu Hadis, Imlak dan Akhlak.
Bagaimanapun, beliau berkata secara keseluruhan keputusan SRU 2024 mencatat peningkatan lulus sebanyak 4.13 peratus kepada 78.24 peratus atau seramai 4,315 orang lulus.
Daripada jumlah itu, katanya seramai 126 murid mendapat pangkat Mumtaz, diikuti Jayyid Jiddan (584), Jayyid (1,931) dan Maqbul (1,674). – Info