KOTA KINABALU: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM1,800 pada 2021 ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini.
Tertuduh berpangkat Sarjan berumur 41 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Jason Juga.
Berdasarkan kertas pertuduhan, anggota polis elaki yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat itu menerima RM1,800 sebagai suapan daripada seorang individu di sebuah bank di Putatan pada 18 Jun 2021.
Wang terbabit dimasukkan ke dalam akaun tertuduh melalui akaun milik individu lain sebagai balasan agar tiada tindakan diambil terhadap aktiviti pengedaran dadah di Kudat.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.
Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM3,000 dan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM setiap dua bulan sekali, selain diperintah tidak mengganggu saksi, manakala pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah. – Info X