KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangka satu koloborasi antara jabatan dibawah agensi berkenaan bagi menangani jenayah penyeludupan yang menjadikan Sabah sebagai pusat transit dadah.
Antara yang terbabit adalah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Pasukan Gerakan Am, (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM) termasuk Pasukan Gerakan Udara (PGU).
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, Sabah dikenalpasti sebagai hotspot transit dadah sebelum diseludup ke negara jiran.

Katanya, menerusi perbincangan dan taklimat yang dijalankan, beberapa lokasi yang dipercayai dijadikan sebagai laluan laut, darat dan lorong tikus oleh sindiket penyeludupan dadah.
“Setakat ini perancangan kita, saya tidak boleh cakap secara jelas berikutan akan menggangu operasi
“Hotspot kebanyakkan pulau yang ada di sekeliling daerah Tawau, Semporna dan pulau-pulau yang kenal pasti aktif dalam kegiatan dadah,” katanya pada sidang media di Briged PGA Kinarut, di sini, hari ini.
Kok Chin berkata, pihaknya percaya Sabah dijadikan sebagai pusat transit disebabkan harga di negara jiran terlalu tinggi.

Katanya, disebabkan harga lumayan dan permintaan tinggi, kebanyakan sindiket akan menjadikan Sabah pusat transit untuk diseludup melalui jalan laut.
“Kalau kita lihat di Malaysia, syabu sekilo anggaran antara RM33,000 hingga RM35,000, Tetapi pergi ke negara jiran, ia boleh meningkat sehingga RM450,000,” katanya.
Sementara itu, Kok Chin berkata, operasi yang dijalankan kelak akan membabitkan pelbagai pasukan termasuk dari Bukit Aman.
Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan tidak akan berkompromi untuk mengenakan tindakan sekiranya ada mana-mana pihak termasuk pegawai polis yang terlibat. – Info X