KOTA KINABALU: Kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo di laluan Tebobon-Berungis, di sini diminta memperbaiki pelan pengurusan trafik bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas bermula dari kawasan pembinaan persimpangan bertingkat Tebobon, di sini.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau, Datuk Mohammed Razali Razi, berkata langkah itu perlu berikutan rungutan penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Beliau mendakwa kelemahan pengurusan trafik menyebabkan kesesakan luar biasa, selain boleh meningkatkan risiko kemalangan, khususnya di kawasan yang pernah merekodkan insiden maut.

“Jalan bukan saja sesak pada waktu puncak, tetapi hampir sepanjang hari. Pusingan U pula terlalu jauh dan tidak sistematik selain papan tanda tidak jelas dan membingungkan.
“Kawasan ini juga ada sekolah, perkampungan dan perumahan padat di mana kesesakan lalu lintas yang berterusan boleh melambatkan segala urusan penting selain jalan yang amat membahayakan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Katanya, selain pembinaan flyover yang dilihat antara punca kesesakan, beberapa faktor lain termasuk kelewatan kerja penurapan jalan oleh pihak kontraktor di kawasan Bandar Sierra yang menyebabkan lorong jalan menjadi kecil dan sempit, menambahkan lagi kesesakan sedia ada.
Razali menegaskan, kontraktor sepatutnya menyediakan pelan kontigensi sebelum memulakan projek dan memastikan pelaksanaannya dipantau dengan kerap, bukan membiarkan rakyat menanggung kesusahan setiap hari.
Beliau turut mengingatkan kontraktor yang menerima bayaran lumayan tidak boleh bersikap sambil lewa dalam menguruskan projek infrastruktur penting yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Kalau di Kuala Lumpur, bandar raya besar dengan projek mega pun boleh mengatur sistem pengurusan trafik dengan baik, mengapa kita di bandar raya Kota Kinabalu tidak mampu? Ini bukan soal teknikal semata-mata, tetapi soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Razali menggesa kontraktor dan pihak konsesi segera menyemak semula pelan pengurusan trafik, menambah papan tanda sementara yang jelas, menyediakan laluan alternatif yang lebih efisien serta melaksanakan pemantauan berjadual agar kelemahan sedia ada dapat diatasi segera.
Jelasnya, pihak kerajaan sudah berusaha menaik taraf jalan raya di negeri ini, namun rakyat tidak wajar menjadi mangsa kelemahan pengurusan syarikat kontraktor.
“Infrastruktur seharusnya memudahkan rakyat, bukan menyusahkan. Masa yang hilang, minyak yang terbazir dan tekanan emosi pengguna jalan raya adalah satu bentuk ketidakadilan sosial yang tidak boleh dibiarkan,” katanya. – Info X