Search

PRN17: Kempen ‘Selamatkan Sabah’ retorik Warisan kelirukan rakyat

August 22, 2025

Info X Reporters

Alias Mohamad

MAMPUKAH Parti Warisan menyelamatkan Sabah jika kembali memerintah selepas ditolak rakyat apabila gagal mendapat majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16), September 2020.

Persoalan itu harus ditanya ketika pemimpin parti berkenaan giat mencanang kempen ‘Selamatkan Sabah’ dalam program politik mereka di seluruh negeri menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang tidak lama lagi.

Harus juga ditanya apa sebenarnya yang mahu ‘diselamatkan’ oleh parti itu, seolah-olah Sabah ini sudah dalam keadaan yang teruk hingga perlu diselamatkan daripada terus rosak.

Tapi, benarkah sampai begitu sekali keadaan di Sabah sekarang? Apa yang teruknya, adakah soal jalan raya berlubang, gangguan bekalan air dan elektrik seperti ‘Chipsmore’ yang diungkit setiap hari oleh pemimpin Warisan dan rakan sekutu mereka.

Jika itulah perkiraannya, ramai yang mendakwa masalah itu bermula dari zaman Warisan memerintah lagi, malah tindakan mereka menamatkan kontrak konsesi air didakwa punca utama operasi bekalan air terjejas.

Bukan setakat itu, kerajaan pula dikatakan terpaksa menanggung bayaran pampasan ratusan juta ringgit kepada syarikat konsesi yang dihentikan kontrak sebelum tempohnya tamat seperti pernah dijelaskan oleh Ketua Menteri sekarang, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sama juga keadaannya dengan jalan raya, ada dakwaan mengatakan tindakan kerajaan Warisan meminta kerajaan Pusat menghentikan syarikat rakan penyampai projek, Borneo Highway PDP yang pada mulanya menyelaras pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah menyebabkan projek itu tergendala.

Ia pernah disebut oleh Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Datuk Arthur Joseph Kurup ketika menjadi Timbalan Menteri Kerja Raya Persekutuan sebelum ini.

Jika tidak dihentikan ketika tempoh pemerintahan Warisan dari Mei 2018 hingga September 2020, isu jalan raya macam di bulan dan kelewatan penyiapan projek lebuh raya itu yang kini sudah hampir 10 tahun dilaksanakan dijangka tidak berlaku.

Memberikan alasan penjimatan kewangan dan pelaksanaan tadbir urus berhemah ketika projek yang mempunyai kepentingan umum terjejas, khususnya infrastruktur dan utiliti asas untuk rakyat adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Namun, itulah dakwaan terhadap kerajaan Warisan dan dijangka parti itu mempunyai perancangan untuk melakukan apa yang pernah dibuat sepanjang 28 bulan memerintah sebelum ini jika kembali menjadi kerajaan selepas PRN17 nanti.

Jadi, apa kaitannya ‘Selamatkan Sabah’ yang dilaungkan Warisan ketika ini jika kerosakan itu didakwa berpunca daripada mereka sendiri.

Sepatutnya rakyat Sabah yang harus menyelamatkan negeri ini daripada dikuasai semula oleh Warisan agar kerosakan itu tidak berulang kembali.

Seperkara lagi, jika Warisan adalah pentadbir negeri yang baik, tidak mungkin wakil rakyat parti itu meninggalkan parti dan bertindak menyokong kerajaan sebelum berkuatkuasa undang-undang anti lompat parti pada Jun 2023.

Dakwaan disogok, ditawar jawatan dan pelbagai lagi ganjaran lain seperti sering disebut Warisan terhadap pemimpin terbabit tidak lebih sebagai melepas kemarahan kerana gagal mempertahankan keyakinan mereka terhadap parti itu.

Tidak mungkin bekas wakil rakyat Warisan sanggup memburukkan parti yang mana mereka pernah menjadi sebahagian daripadanya jika ia benar-benar mempunyai misi dan perjuangan yang jelas untuk Sabah.

Memetik pandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif di sebuah portal baru-baru ini, beliau mendakwa perjuangan pemimpin parti itu lebih mengutamakan jawatan berbanding kepentingan Sabah.

Buktinya, beliau berkata Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung pada 2021 dan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri ketika berlaku kekosongan berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos 2021.

Katanya, ia sekali gus menjadikan Warisan sebuah parti nasional dan bukan lagi parti tempatan seperti yang dilaungkan pemimpinnya menjelang PRN17.

Mempunyai pandangan sama, Datuk Mohammad Mohamarin yang sama-sama Norazlinah meninggalkan Warisan pada Februari 2023, beliau berkata Warisan kini berdepan krisis kepercayaan dalam kalangan rakyat.

ADUN Banggi itu mendakwa, keyakinan terhadap Warisan sudah hilang dan rakyat kini tidak lagi melihat parti itu sebagai pembawa harapan.

Beliau turut membidas slogan ‘Selamatkan Sabah’ yang didakwanya tidak mencerminkan realiti pentadbiran negeri sekarang di bawah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Jelasnya, kerajaan GRS hari ini sedang berusaha menyelesaikan isu asas seperti air, elektrik dan jalan raya, berbanding Warisan selama lebih dua tahun memerintah sebelum ini, tapi tiada inisiatif konkrit.

Ends

Artikel ini adalah pandangan penulis semata-mata dan tidak mencerminkan pendirian Info X