Search

Balai Polis Ranau baharu tingkat khidmat kepada masyarakat

September 21, 2026

Info X Reporters

RANAU: Balai Polis Ranau yang baharu dirasmikan hari ini diharap dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepolisan, sekali gus memperkukuh keselamatan masyarakat di daerah berkenaan.

Majlis perasmian disempurnakan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, di sini.

Jauteh berkata, balai polis berkenaan bukan sekadar bangunan atau prasarana fizikal, sebaliknya simbol kehadiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masyarakat serta pusat penyampaian perkhidmatan yang mesra rakyat, responsif, cekap dan profesional.

Menurutnya, keadaan geografi Ranau yang luas serta perkembangan aktiviti ekonomi dan pelancongan memerlukan tahap kesiapsiagaan serta kehadiran polis yang berkesan.

“Seluruh warga PDRM khususnya di daerah Ranau perlu terus menjadikan prinsip ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ sebagai pegangan dengan memperkukuh hubungan bersama masyarakat berasaskan kepercayaan, rasa hormat dan kerjasama.

“Usaha pencegahan jenayah juga perlu dilaksanakan secara proaktif dengan mengenal pasti isu keselamatan di peringkat akar umbi serta mendekati masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Beliau berkata, kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat perlu diperkukuh bagi menangani cabaran jenayah semasa.

Katanya, ia termasuk penipuan dalam talian, jenayah komersial, penyalahgunaan dadah, keganasan rumah tangga, jenayah seksual, penyeludupan dan jenayah terancang.

Menjelang persaraan wajibnya, Jauteh turut berpesan kepada warga PDRM Kontinjen Sabah supaya terus berkhidmat dengan ikhlas, memelihara integriti, menghormati masyarakat dan menegakkan undang-undang secara adil.

“Teruskan perjuangan, teruskan khidmat bakti, peliharalah nama baik pasukan dan teruslah menjadi polis yang dipercayai rakyat,” katanya. – Info X