Search

Jeritan remaja gagalkan cubaan cabul

September 21, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Jeritan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun meminta pertolongan menggagalkan cubaan seorang lelaki mendekatinya di sebuah rumah kedai di Kalabakan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu, mangsa mendakwa terdengar bunyi seperti kucing sebelum seorang lelaki yang menutup wajah tiba-tiba membuka langsir dan menghampirinya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek kemudian dipercayai naik ke tilam tempat mangsa berada sebelum remaja itu menjerit dan melawan.

“Mangsa turut mendakwa ditendang lelaki terbabit sebelum suspek melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Bertindak atas maklumat, anggota Balai Polis Kalabakan menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 40-an di kawasan kedai berhampiran Bulatan Kalabakan kira-kira jam 9.45 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Rosdi berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelakunya.

Sementara itu, beliau berkata ibu bapa serta masyarakat dinasihatlan supaya sentiasa mengambil berat keselamatan kanak-kanak dan segera menyalurkan maklumat kepada polis jika mengetahui atau mengesyaki kejadian yang boleh mengancam mereka. – Info X