Search

Banduan disiasat liwat rakan banduan lain

June 15, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang banduan yang disabitkan kesalahan membunuh berdepan siasatan baharu selepas didakwa meliwat banduan lain di Penjara Pusat Kota Kinabalu, di sini.

Suspek warga Filipina yang dijatuhkan hukuman penjara 40 tahun dengan 12 sebatan kerana membunuh pemandu e-hailing lima tahun lalu dikatakan melakukan perbuatan liwat terhadap mangsa sama beberapa kali.

Sumber berkata, mangsa diugut menggunakan senjata tajam buatan sendiri ketika kejadian itu berlaku.

“Mangsa kemudian terpaksa berdiam diri kerana bimbang dibunuh oleh suspek.

“Mangsa hanya memaklumkan kepada doktor berkenaan kejadian itu selepas mangsa sakit dan terpaksa dimasukkan ke hospital baru-baru ini,” katanya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 30 Mei, dan kertas siasatan dibuka pada 31 Mei lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat,” katanya. – Info X