KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) diminta tidak mengganggu peruntukan membina klinik di negeri ini bagi menampung dana mewujudkan Pusat Jantung Sabah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, berkata peruntukan RM80 juta yang disebut Perdana Menteri untuk pusat itu seharusnya menggunakan peruntukan baharu dari Kementerian Kewangan.
Katanya, adalah tidak adil untuk mengambil peruntukan pembinaan klinik kesihatan yang kemudahannya sangat diperlu penduduk terutama di luar bandar negeri ini bagi merealisasikan Pusat Jantung Sabah.
“Saya hairan sebab saya difahamkan bahawa peruntukan sebanyak RM80 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalag wang dari klinik kesihatan yang sudah diluluskan dan diambil, disimpan untuk ‘topup’ peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri.
“Jadi, saya minta kepada KKM, mana-mana projek yang telah diluluskan untuk naik taraf ataupun membina fasiliti di Sabah ini jangan lagi diganggu, jangan dikacau.
“Buatlah yang Perdana Menteri umumkan itu melalui Kementerian Kewangan untuk mencari dana wang membina Pusat Jantung Sabah yang diumumkan RM80 juta itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Klinik Family Care Jalan Pantai, di sini, hari ini.
James yang juga EXCO Kesihatan negeri, berkata beliau tidak bersetuju dengan langkah seperti itu dan menyifatkannya sebagai tidak memberi apa-apa makna kepada negeri ini.
Sementara itu, beliau juga menegaskan perlunya mengekalkan cadangan sebelum ini untuk mewujudkan Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) berbanding memindahkannya ke lokasi lain.
Katanya, kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, baru-baru ini mengenai kemungkinan menempatkan Pusat Jantung Sabah di Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) melambatkan lagi penyediaan kemudahan itu.
“Matlamat kita memohon institut jantung Sabah ini, pertama memandangkan kewangan kita pada masa ini belum mengizinkan, maka peruntukan sedia ada sebanyak RM80 juta yang diumumkan itu adalah lebih baik untuk kita menambah fasiliti, kemudahan wad pusat jantung kita di HQE2.
“Tapi, baru-baru ini ada pengumuman daripada menteri KKM mengatakan akan mempertimbangkan untuk Pusat Jantung Sabah itu ditempatkan di HUMS.
“Tapi, saya rasa HUMS masih lambat lagi untuk disiapkan, kita tidak tahu bila ia siap sedangkan kemudahan dan fasiliti jantung ini amat mendesak dan atas sebab itu adalah lebih baik menaik taraf wad HQE2,” katanya. – Info X