Search

Banjaran Crocker umpama ‘tangki air’ penduduk Sabah

March 13, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Taman Banjaran Crocker (TBC) menjadi sumber air utama kepada penduduk negeri ini dengan kira-kira 4.3 bilion liter mengalir melalui sungai-sungai dari kawasan tadahan berkenaan setiap hari.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, berkata jumlah itu boleh menampung penggunaan air untuk 28 juta penduduk, menggambarkan kepentingan TBC sebagai kawasan tadahan air utama di Sabah.

Katanya, data itu berdasarkan hasil kajian ‘Economics of River Basin Management Toward Sustainable Development for Biodiversity and Ecosystems Conservation’ yang diterbitkan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) pada 2015.

“Hasil kajian itu antara lain menyatakan bahawa ukuran isipadu air yang mengalir keluar dari sungai di TBC adalah sebanyak 4.3 billion liter sehari. Kajian ini dijalankan di 19 batang sungai dalam kawasan TBC.

“Statistik yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pula menunjukkan penggunaan purata air untuk setiap rakyat Malaysia sehari adalah 201 liter.

“Data-data ini memberi makna bahawa untuk setiap hari, isipadu air yang mengalir keluar dari TBC boleh menampung pengunaan air untuk 28 juta orang,” katanya pada Majlis Ulang Tahun Pewartaan TBC Ke-40, kelmarin.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Alesia Sion.

Christina berkata, berdasarkan kadar purata harga air di Sabah iaitu RM1.80 untuk setiap 1,000 liter, maka air yang mengalir keluar dari kawasan TBC secara ekonominya bernilai RM 7.7 juta sehari.

“Saya sengaja tidak mengambil kos rawatan air di loji rawatan air (LRA), kos perpaipan dan kos lain sebab selaku kementerian yang menjaga hal ehwal alam sekitar di Sabah, fokus kita adalah tertumpu kepada nilai ekonomi dalam perkhidmatan ekosistem,” katanya.

Katanya, nilai ekonomi yang ada di TBC itu memberi manfaat secara langsung kepada 99,100 orang komuniti di 385 kampung yang berada di sekitar rizab biosfera berkenaan.

“Amat wajar jika saya sebut di sini bahawa TBC adalah sebuah ‘Tangki Air’ utama dan penting, bukan saja kepada 385 kampung di 10 daerah yang terbabit, malah kepada seluruh negeri Sabah,” katanya.

Berikutan kepentingan itu, katanya aktiviti pembangunan di TBC perlu dilakukan pada skala yang minimum dan dilaksanakan secara berhati-hati dengan menekankan aspek kelestarian supaya tidak mengganggu fungsinya sebagai kawasan tadahan air.

“Oleh itu, kita perlu terus melindungi dan mempertahankan TBC untuk 1,000 tahun akan datang. Biarlah visi kita iaitu ‘Rakyat Sabah Hidup Harmoni Dengan Alam Semulajadi’ terus berkumandang dalam deruan aliran air terjun dan sungai yang mengalir di TBC,” katanya.

Katanya, TBC diisytiharkan sebagai kawasan Crocker Range Biosphere Reserve (CRBR) pada 2014 membabitkan keluasan 350,584 hektar, iaitu antara kawasan pemuliharaan terbesar di Pulau Borneo ei bawah rizab biosfera.

Christina berkata rizab biosfera merujuk kepada kawasan ekosistem daratan dan pantai atau laut, atau gabungan kedua-duanya, yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam rangka Program ‘UNESCO Man and Biosphere’ yang untuk mempromosi saling kait dan hubungan seimbang di antara manusia dan biosfera.

CRBR, katanya, meliputi sebahagian daripada 10 daerah di Sabah iaitu Keningau, Tambunan, Tenom, Beaufort, Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Ranau, Tuaran dan Membakut.

“CRBR adalah ‘output’ atau hasil daripada program sebelumnya iaitu Borneon Biodiversity and Ecosystem Conservation Program (BBEC) yang dilaksanakan pada 2002 hingga 2012 dan Sustainable Development for Biodiversity Conservation (SDBEC) yang dari 2012 hingga 2017.

“Program ini adalah kerjasama teknikal di antara Kerajaan Malaysia melalui Kerajaan Sabah dan Kerajaan Jepun melalui JICA,” katanya. – Info X