PITAS: Selain kerugian harta benda, mangsa banjir di daerah ini kini berdepan satu lagi ancaman menakutkan apabila haiwan liar seperti buaya dan ular dilaporkan masuk ke kawasan perumahan susulan limpahan air sungai.
Hujan lebat berterusan lebih 24 jam menyebabkan beberapa kampung ditenggelami air, memaksa penduduk menyelamatkan diri dan barangan penting dalam keadaan kelam-kabut.
Tinjauan di lokasi terjejas mendapati ramai penduduk bukan saja menanggung kerugian akibat peralatan elektrik rosak dan dihanyutkan arus, malah hidup dalam kebimbangan dengan kehadiran haiwan berbahaya yang dibawa arus banjir.
Penduduk, Salma Hasan, 42, berkata air sungai melimpah secara tiba-tiba sehingga mereka tidak sempat mengalihkan harta benda ke tempat lebih tinggi.
“Ketika kami sibuk menyelamatkan peti sejuk dan mesin basuh, kami terkejut melihat anak buaya muncul di kawasan rumah, dipercayai dihanyutkan arus.

“Lebih mencemaskan apabila ada ahli keluarga terpijak ular di ruang tamu selepas rumah dinaiki air,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan trauma kepada penduduk, malah meningkatkan risiko keselamatan terutama kepada kanak-kanak dan warga emas.
Selain ancaman haiwan liar, mangsa turut mengalami kerugian apabila peti sejuk dan mesin basuh dihanyutkan arus deras, manakala televisyen serta peralatan elektrik lain rosak akibat terendam air.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat membantu mengawal ancaman haiwan liar dan menyalurkan bantuan segera bagi meringankan beban mangsa,” katanya.
Penduduk kini berharap keadaan cuaca kembali pulih dan bantuan disalurkan segera bagi membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa. – Info X