Search

Suspek acu garpu, baling kerusi ditahan polis

February 21, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan seorang lelaki mengacukan garpu dan membaling kerusi dalam satu pergaduhan di perkarangan Restoran Madeena, Kubota Sentral, awal pagi tadi, membawa padah apabila dia diberkas polis beberapa jam kemudian.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, suspek lelaki tempatan berusia 33 tahun dipercayai memukul dan menumbuk mangsa berusia 28 tahun sebelum bertindak lebih agresif dengan mengacukan garpu serta mengugut untuk menikamnya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, dalam insiden sama, suspek turut membaling kerusi ke arah kenderaan mangsa sehingga menyebabkan calar pada bahagian pintu penumpang belakang.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, hasil maklumat dan risikan, sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek kira-kira jam 1 tengah hari di belakang sebuah premis perniagaan di Jalan Sin Onn, di sini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan pertikaian, sebaliknya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. – Info X