Search

Dua wanita warga asing ditahan kes ugutan jiran

February 22, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Dua wanita warga asing ditahan polis, hari ini selepas dipercayai mengugut seorang wanita tempatan dalam kejadian di hadapan sebuah kedai di Kampung Kurnia, Batu 4 Jalan Apas, Disember lalu.

Kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu dipercayai berpunca daripada perselisihan antara jiran sebelum kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an bertindak mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan terhadap mangsa yang berusia 25 tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Tawau bagi tindakan lanjut.

“Bertindak atas laporan dan risikan, sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 1.30 petang di kawasan Bandar Sabindo.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan polis memandang serius sebarang bentuk ugutan terhadap mana-mana individu,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sementara itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya tindakan segera dapat diambil. – Info X