SIPITANG: Berikutan banjir melanda membabitkan empat kampung di daerah ini sejak malam tadi, seramai 19 penduduk membabitkan tujuh keluarga dari dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Antara kampung yang terjejas banjir iaitu Kampung Kaban, Kampung Pantai, Tanjung Nipis, dan Kampung Ranau-Ranau.
Semua penduduk terjejas dipindahkan ke PPS Dewan Mesapol bermula jam 9.50 malam hingga 6 pagi hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi memindahkan penduduk yang terjejas banjir selepas menerima panggilan pada jam 9.50 malam tadi di Kampung Kaban.
“Sepasukan bomba BBP Sipitang bergegas ke lokasi bagi melakukan operasi pemindahan membabitkan dua mangsa ke PPS Dewan Mesapol.
“Seterusnya operasi memindahkan penduduk dilakukan di Kampung Pantai iaitu seramai lapan orang membabitkan tiga keluarga dipindahkan ke PPS manakala operasi memindahkan penduduk terjejas banjir terus dijalankan di Tanjung Nipis dan Kampung Ranau-Ranau membabitkan sembilan penduduk dipindahkan ke PPS Dewan Mesapol,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi ditamatkan kira-kira jam 6 pagi tadi.
“Setakat jam 7.30 pagi tadi keadaan banjir beransur surut dan pasukan bomba akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan yang dinaiki air,” katanya. – Info X
