Search

PANDANG SERIUS KES PEMALSUAN PENGISYTIHARAN CUKAI JUALAN – SKN

May 21, 2022

admin

KOTA KINABALU: Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, memaklumkan kerajaan Sabah memandang serius berkaitan kes tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan penjawat awam negeri didakwa melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah.

“Kita akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung siasatan agensi berkenaan.

“Saya juga sudah mengarahkan Kementerian Kewangan negeri untuk meneliti dan menambah baik segala sistem serta prosedur yang boleh membuka ruang dan peluang kepada aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

SPRM Sabah semalam melaporkan satu lagi tangkapan dibuat berhubung siasatan kes melindungi pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah membabitkan seorang individu bergelar datuk.

Suspek berusia 66 tahun yang juga bekas penjawat awam itu ditahan kira-kira jam 4 petang semalam di pejabat SPRM Sabah ketika hadir memberi keterangan untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan negeri dan seorang pesara kerajaan ditahan SPRM Sabah pada 18 Mei lalu ekoran dipercayai meminta serta menerima rasuah berjumlah kira-kira RM700,000 daripada sebuah syarikat kilang kelapa sawit.

Wang berkenaan dipercayai sebagai balasan kerana melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah yang dikemukakan setiap bulan kepada Kementerian Kewangan negeri. – Info X