BEAUFORT: Bomba menyelamatkan seramai sepuluh sekeluarga dari Kampung Bukau, di sini selepas kediaman mereka digenangi banjir kilat, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, semua mangsa dibawa keluar daripada rumah berkenaan menggunakan bot pasukan bomba untuk dipindahkan ke rumah saudara mereka di Kampung Tamalang Along, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, banjir kilat dipercayai berlaku akibat hujan sejak jam 3 petang tadi.
“Seramai sembilan anggota termasuk pegawai digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat Kampung Bukau berhubung banjir kilat yang berlaku.
“Setibanya di lokasi, kita mendapati ada beberapa rumah terjejas dan sebuah keluarga dengan 10 orang terpaksa dipindahkan ke rumah saudara mara yang berada di Kampung Tamalang Along,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemantauan masih dijalankan secara berterusan di kawasan yang terjejas banjir namun kini air mulai surut.
“Sekarang air mulai surut sikit dan sehingga kini tiada PPS (pusat pemindahan sementara) yang dibuka,” katanya. – Info X