Search

Banjir Kota Marudu: 20 penduduk Kampung Ongkilan dipindahkan

January 29, 2025

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Kira-kira 20 penduduk Kampung Ongkilan, di sini, dipindahkan susulan perkampungan mereka dilanda banjir, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan bencana banjir pada jam 10.56 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerahkan ke lokasi untuk membantu.

“Terdapat 20 mangsa dipindahkan oleh pasukan Bomba ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau dalam keadaan selamat.

“Semua mangsa yang dipindahkan membabitkan lapan wanita dan 12 kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 1 petang. – Info X