LAHAD DATU: Seramai 22 penduduk Kampung Manau Jalan Silam, di sini, dipindahkan selepas kawasan perkampungan mereka dilanda banjir, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan bencana banjir pada jam 8.34 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerahkan ke lokasi untuk membantu.
“Terdapat 22 mangsa dipindahkan oleh pasukan bomba ke rumah keluarga terdekat dalam keadaan selamat.
“Semua mangsa yang dipindahkan membabitkan seorang warga emas, empat lelaki, tujuh wanita dewasa dan 10 kanak-kanak lelaki dan perempuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.22 tengah hari. – Info X