Search

Tiada kompromi jika ada unsur sabotaj dalam pengurusan bekalan air – Hajiji

January 29, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan tidak akan berkompromi sekiranya wujud unsur sabotaj dalam pengurusan bekalan air di negeri ini, termasuk di Sandakan.

Ia berikutan masalah bekalan air yang tidak mencukupi di Sandakan yang menjadi semakin serius sejak bulan lalu.

“Saya tidak mau ada unsur-unsur sabotage dalam pengurusan air di Sabah ini termasuk di Sandakan. Kalau ada, saya sebagai Ketua Menteri, saya akan ambil tindakan kepada mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2025 Peringkat Sandakan, hari ini.

Hajiji menjelaskan, terdapat tiga konsesi yang terlibat dalam pembekalan air di Sandakan, namun ada konsesi yang menghadapi masalah dan hanya membekalkan sebahagian daripada kapasiti yang dijanjikan.

“Manakala yang dua itu, yang sepatutnya membekalkan air semaksimum yang kita minta, ada masalah dia hanya bekal sebahagian saja dan ini saya akan panggil dan juga Pengarah Jabatan Air untuk menyelesaikan masalah air di Sandakan ini,” katanya.

Beliau berkata, bekalan air daripada konsesi utama buat masa ini masih mencukupi namun masih terdapat kelemahan dalam sistem agihan yang menyebabkan gangguan kepada pengguna.

“Kalau kita tengok, saya pun kadang-kadang hairan, air yang dibekalkan oleh pihak Jetama dan sebagainya cukup, sementara kita tunggu empangan Ulu Padas yang akan mengeluarkan air 6,000 juta liter sehari untuk 100 tahun akan datang, tetapi saya juga ingin tahu di mana silap sistem kita ini, air yang dibekalkan ada, tapi sampai kepada rakyat kurang,” katanya.

Hajiji turut menepis dakwaan pembangkang yang menyalahkan kerajaan negeri dalam isu itu, dengan menegaskan bahawa masalah bekalan air di Sandakan bukan berpunca daripada pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebaliknya telah berlarutan sejak bertahun-tahun.

Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus berusaha mencari penyelesaian kepada masalah bekalan air di Sandakan dan seluruh Sabah bagi memastikan rakyat tidak terus terkesan. – Info X