RANAU: Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh menyebabkan laluan di Kampung Kemburongoh, di sini, tidak dapat dilalui kenderaan dari kedua-dua arah, awal pagi tadi.
Kejadian berpunca daripada limpahan air dari kawasan bukit yang menyebabkan tanah di lereng bukit mengalami gelongsoran secara beransur-ansur sehingga menghalang laluan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam menerusi talian kecemasan sebelum mengarahkan anggota ke lokasi pada jam 4.25 pagi.
Katanya, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang tiba pada jam 5.15 pagi mendapati limpahan air dari kawasan bukit menyebabkan tanah mengalami gelongsoran.
“Pemeriksaan mendapati laluan berkenaan tidak dapat dilalui kenderaan dari kedua-dua arah akibat banjir lumpur dan tanah runtuh.
“Anggota bomba turut berada di lokasi bagi memantau keadaan dan setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mursalin berkata, orang ramai khususnya penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan supaya meningkatkan kewaspadaan berikutan hujan berterusan yang boleh mengakibatkan banjir lumpur, tanah runtuh dan pokok tumbang.
Katanya, masyarakat juga diminta segera melaporkan sebarang kejadian berbahaya di kawasan masing-masing bagi membolehkan pihak berkuasa menyalurkan bantuan awal.
“IPD Ranau sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di daerah ini,” katanya. – Info X