KOTA KINABALU: Pemberian bantuan kepada badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh dan persendirian di Sabah meningkat RN13.25 juta pada tahun depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pada tahun depan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM70 juta bagi tujuan itu berbanding sebanyak RM56.75 juta pada tahun ini.
Beliau berharap peningkatan itu bantuan itu dapat meringankan beban kewangan pihak sekolah dan badan keagamaan dalam usaha memastikan fasiliti sentiasa berada dalam keadaan kondusif, selamat dan selesa.
“Kerajaan Negeri komited dan sentiasa mengamalkan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pembukaan Sambutan Perayaan Krismas Kota Kinabalu (KKCC) 2024 di Padang Merdeka, malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Dalam ucapannya, Hajiji menyeru masyarakat negeri ini supaya terus mengekalkan keamanan, keharmonian dan kesefahaman yang dinikmati rakyat pelbagai kaum ketika ini agar terus menjadi contoh di negara ini.
“Sesungguhnya, keharmonian di kalangan masyarakat adalah nadi kepada kejayaan aspirasi kerajaan, iaitu Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Saya yakin sambutan Perayaan Krismas yang diadakan selama empat hari ini adalah pemangkin kepada kesefahaman dan keharmonian antara pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya berharap semua aktiviti yang dijalankan sepanjang sambutan ini diterima dan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua golongan masyarakat,” katanya.
Hajiji berkata, sambutan KKCC kali yang Ke-19 tahun ini yang bertemakan ‘Kasih Melalui Tindakan’ (Love in Action) amat tepat khususnya di Sabah yang mempunyai rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Tema itu amat disokong kerana ia mendorong kita untuk saling mengasihi sesama, bukan hanya setakat bercakap mengenai kasih tetapi menterjemah dan menunjukkan kasih itu melalui tindakan.
“Kasih di kalangan masyarakat pelbagai suku, bangsa dan agama ini amat penting untuk kesejahteraan, kemakmuran dan keamanan negeri Sabah yang kita cintai ini,” katanya. – Info X