Search

Bantuan segera pulih kerosakan sekolah terjejas banjir

January 7, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, Manggatal yang terjejas teruk akibat banjir pada Sabtu dan Ahad lalu diberi bantuan segera bagi mengganti peralatan yang rosak sebelum bermula sesi persekolahan minggu depan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib, berkata banyak kerosakan dikenal pasti membabitkan perabot kegunaan murid, peralatan teknologi maklumat dan kemudahan bilik guru.

Katanya, peralatan yang rosak itu perlu diganti segera sebelum sesi persekolahan minggu depan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri untuk membekalkan kira-kira 300 unit meja dan kerusi murid, menggantikan 10 unit komputer dan sebuah pencetak yang rosak, serta menyediakan kira-kira 40 unit meja dan kerusi guru bagi menggantikan peralatan yang terjejas akibat banjir.

“Semua bantuan dan kelengkapan berkenaan perlu dibekalkan segera dan dihantar ke sekolah ini sebelum pembukaan sesi persekolahan pada Isnin minggu depan bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan kelangsungan pembelajaran murid,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kerosakan akibat banjir yang dialami sekolah berkenaan pada Selasa.

Keadaan SK Rampayan yang terjejas akibat banjir.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron; Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Johari Sabin; Guru Besar SK Rampayan, Ropinah Moktar dan Ketua Kampung Rampayan, Awangku Samsu Pg Mobin.

James turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah atas tindakan pantas dalam menyelaras bantuan dan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Pendidikan Daerah dan semua pihak yang terbabit membantu kerja-kerja pembersihan serta pemulihan sekolah.

Beliau berkata, selain SK Rampayan, beberapa sekolah lain turut dikenal pasti terjejas akibat bencana banjir.

“Kementerian akan terus memantau keadaan dan menyalurkan bantuan sewajarnya mengikut keperluan semasa,” katanya.

Katanya, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kementeriannya juga akan digerakkan bagi menyalurkan bantuan segera kepada sekolah yang terjejas sebagai sokongan tambahan terhadap usaha pemulihan.

“Pejabat Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan murid dan guru sentiasa terpelihara, khususnya dalam situasi bencana,” katanya. – Info X