LABUAN: Seorang individu kerugian RM26,400 selepas terperdaya dengan tawaran jual beli biskut jenama “Nyonya Mood” yang diiklankan menerusi Facebook, sebelum menjadi mangsa penipuan dalam talian yang kini disiasat polis.
Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan tertarik dengan iklan jualan berkenaan di Facebook sebelum berurusan lanjut dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.
Mangsa kemudian diarahkan memuat turun satu aplikasi menerusi pautan yang diberikan suspek.
Namun, sebaik pemasangan dibuat, telefon bimbit mangsa dilaporkan tidak berfungsi buat seketika sebelum mangsa menyedari beberapa transaksi kewangan telah dilakukan tanpa kebenaran, sekali gus menyebabkan kerugian.
Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan mendapati modus operandi digunakan suspek bermula dengan iklan jualan menarik di media sosial sebelum mangsa diarahkan memuat turun aplikasi daripada pautan tidak rasmi.

“Tindakan itu membolehkan suspek mengambil alih akses peranti dan akaun kewangan mangsa, sekali gus memudahkan transaksi dilakukan tanpa pengetahuan pemilik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak memuat turun sebarang aplikasi daripada sumber mencurigakan, selain tidak berkongsi maklumat perbankan atau kod pengesahan sekali guna (OTP).
“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa atau mengesan sebarang unsur penipuan dinasihatkan supaya segera membuat laporan polis atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya. – Info X