TAWAU: Seorang lelaki warga asing yang memukul anak lelakinya berusia tujuh tahun hingga mengalami kecederaan di seluruh tubuh mangsa, diberkas polis di Batu 3, Jalan Apas, di sini semalam.
Suspek berusia 29 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, pada jam 12.45 tengah hari selepas menerima laporan daripada ibu saudara kanak-kanak terbabit, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ibu saudara mangsa dimaklumkan suaminya bahawa anak saudaranya dipukul oleh bapa kanak-kanak terbabit di rumah mereka dengan menggunakan tali pinggang.
Katanya, hasil siasatan awal, kejadian itu sering berlaku sehingta kanak-kanak itu mengalami kecederaan di seluruh tubuhnya.
“Polis juga turut berjaya menyelamatkan kanak-kanak terbabit dan tali pinggang yang disyaki digunakan ketika kejadian dirampas.
“Suspek dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326A kanun yang sama.
“Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun atau denda atau dengan sebat, atau dua kali ganda dari hukuman berkenaan,” katanya. – Info X