TAWAU: Seorang lelaki hari ini dihadapkan di Mahkamah Sesyen Tawau, di sini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya berusia 12 tahun pada awal Mac lalu.
Tertuduh berusia 33 tahun itu bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas anak perempuannya di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Semporna pada jam 12.01 tengah malam, 5 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua seksaan itu.

Mengikut fakta kes, mangsa dimarahi tertuduh kerana pulang lewat dan menuduh mangsa keluar serta melakukan hubungsn seks dengan rakan lelakinya.
Tertuduh kemudian cuba membuka seluar yang dipakai mangsa sebelum memegang dan menahan bahagian pahanya dengan alasan mahu memeriksa kemaluannya.
Mangsa kemudian meronta-ronta dan berjaya melepaskan diri sebelum memaklumkan kejadian itu kepada ibu tirinya yang kemudian membuat laporan polis pada hari sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suryana manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam. – Info X