Search

Lelaki maut dalam kemalangan empat kenderaan di Jalan Lintas

May 13, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan lain Jalan Lintas, di sini, petang ini.

Kemalangan kira-kira jam 2 petang itu membabitkan Toyota Avanza dipandu mangsa berusia 68 tahun terbabit dengan Toyota Revo, lori dan kenderaan utiliti sukan (SUV) RX350.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.10 petang.

Katanya, sebuah jentera bersama 10 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Hasrulnizam Mohd Zain dihantar ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza dipercayai melanggar Toyota Revo, lori dan Lexus RX350.

“Terdapat enam mangsa terbabit. Pemandu Toyota Avanza disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Lintas, Kota Kinabalu.

Menurutnya, lima mangsa di tiga kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 2.50 petang,” katanya. – Info X