Search

Bapa maut, dua anak perempuan selamat kereta terbabas

June 3, 2023

Info X Reporters

LABUAN: Seorang lelaki maut manakala dua penumpang yang juga anak perempuannya terselamat selepas kereta dinaiki terbabas di Jalan Mohd Salleh berhampiran Layangan Sunset Cafe, Taman Damai, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, pemandu Abd Rashid Bahari, 48, disahkan meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Ahmad Jawila berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis kompak yang terbabas sendiri.

“Impak kemalangan membabitkan mangsa tersepit di bahagian pemandu dan dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dua lagi penumpang iaitu anak perempuan mangsa yang berada bersama-sama ditempat kejadian berusia lapan dan 10 tahun hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk dibedah siasat. “Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X