KOTA KINABALU: Hasrat Sabah FC untuk menebus kekecewaan tersingkir dari saingan Piala FA tidak kesampaian apabila mereka kecundang 1-2 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC), di Stadium Darul Aman, di Alor Setar, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Badak lebih dulu memperolehi gol hasil jaringan Gabriel Perez pada minit ke-7 selepas berjaya menanduk masuk bola hasil dari sepakan bebas diambil Baddrol Bakhtiar.
Bagaimanapun, KDA FC berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Lee Tuck pada minit ke-40 selepas menyambar bola yang dihantar Hidalgo ke ruang kotak penalti.
Bermula babak kedua, KDA FC terus menggandakan serangan dan selepas lebih banyak mengawal permainan, mereka akhirnya berjaya menambah gol melalui jaringan kedua Lee Tuck pada minit ke-71 yang merembat bola hasil dari tandukan keluar yang kurang kemas oleh pemain pertahanan Sabah FC.
Kedudukan 2-1 itu kekal hingga ke hujung babak kedua menyaksikan Kedah membawa pulang tiga mata. – Info X
Kredit Foto – Facebook Flash Sukan