KOTA KINABALU: Polis menahan enam lelaki dan seorang wanita disyaki terbabit dalam insiden memukul seorang lelaki di kawasan luar sebuah pusat hiburan di Luyang Commercial Centre, di sini, yang tular di media sosial, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 5 petang, 1 Jun lalu.Katanya, mangsa lelaki membuat laporan polis mengatakan dipukul dan diugut oleh beberapa individu yang tidak dikenali.
“Mangsa dipanggil keluar dari sebuah pusat hiburan oleh seorang wanita dan lelaki yang tidak dikenali.
“Ketika berada diluar, mangsa ditolak dan ditumbuk dibahagian muka serta ditendang dibahagian perut beberapa kali oleh beberapa lelaki yang mangsa tidak kenali hingga mangsa alami pendarahan di hidung dan kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, suspek kemudian menarik mangsa dan membawanya masuk ke dalam kereta untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
“Ketika itu, suspek merampas semua telefon bimbit mangsa hingga rosak. Ketika dalam perjalanan ke IPD Kota Kinabalu, salah seorang lelaki mengeluarkan satu batang cota besi dan mengugut mangsa dengan mengatakan ‘kalau kau mengaku semua akan selesai, kau masih keras kepala tidak mengaku’.
“Ketika dalam kereta, tiga suspek menumbuk dan menendang mangsa berkali-kali dan salah seorang suspek turut membuat ugutan hingga mangsa ketakutan,” katanya.
Kalsom berkata, selepas membuat laporan polis, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) dan keadaannya baik dan stabil.
“Bertindak atas maklumat, tangkapan telah dilakukan ke atas enam lelaki dan seorang wanita yang disyaki terbabit kes berkenaan bagi membantu siasatan.
“Punca kejadian masih belum diketahui dan kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata dengan tertangkapnya semua suspek terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan kes ini.
“Polis turut menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan sesuatu berita daripada sumber yang tidak sahih berhubung kes ini yang telah dimuat naik dan tular di media sosial. – Info X