Search

Bapa terkilan gagal temui anak hanyut di kuala sungai

August 30, 2023

Junaidi Ladjana

TUARAN: Seorang bapa terkilan gagal menemui anaknya yang hanyut ketika mandi di kuala sungai walaupun bergadai nyawa mencarinya.

Dalam insiden di Kampung Serusup, di sini, kira-kira jam 2 petang tadi, mangsa, Syaza Wardiah Muesa, 12, sehingga kini belum ditemui, dikhuatiri lemas.

Bagaimanapun, bapa mangsa berjaya menyelamatkan dua beradik yang juga rakan anaknya iaitu Ehsan Rusdi, 10 dan abangnya Adum, 12.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.33 petang.

Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Maklumat mendapati ketika kejadian mangsa bersama dua rakannya dikatakan sedang mandi di kawasan kuala sungai yang terletak di hadapan rumah penduduk.

“Ketiga-tiga mereka dihanyutkan arus dan kejadian itu disedari penduduk sebelum bapa kepada mangsa segera terjun ke sungai menyelamatkan dua beradik manakala seorang lagi iaitu anaknya (mangsa) dibawa arus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dua beradik yang selamat dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pasukan keselamatan menjalankan operasi pencarian di kawasan kejadian di kuala sungai Kampung Serusup, Tuaran. – Foto/Bomba

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kemudian menjalankan operasi pencarian bersama agensi lain dan penduduk kampung.

“Setakat ini mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa,” katanya. – Info X