TUARAN: Wanita warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan Kampung Suromboton, Tenghilan, di sini, sejak dua hari lalu, ditemui selamat, hari ini.
Jen Buyung, 77, ditemui orang awam jam 2.55 petang pada jarak tiga kilometer dari lokasi rumahnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, mangsa ditemui dalam keadaan selamat sebelum diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Mangsa kemudian dihantar ke Klinik Tenghilan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Abdul Qawie berkata, bilik kawalan BBP Tuaran menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada pada 5.05 petang semalam.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan saksi iaitu anak mangsa, dilaporkan mangsa disedari hilang pada 28 Ogos lalu.
“Tindakan pasukan bomba mengambil maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar rumah mangsa.
“Operasi ditangguhkan pada 6.30 petang semalam dan disambung hari ini,” katanya.
Menurutnya, operasi SAR hari kedua kemudian berjaya menemui mangsa kira-kira tiga kilometer dari rumahnya oleh orang awam dalam keadaan selamat. – Info X