TAWAU: Perbuatan terkutuk seorang bapa tiri merakam video secara sulit terhadap ahli keluarganya sendiri membawa padah apabila dia ditahan polis di Kampung Tanjung Batu Laut, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki tempatan berusia 39 tahun itu diberkas kira-kira jam 8.07 malam, tidak sampai dua jam selepas polis menerima laporan pada jam 6.27 petang.
Katanya, kejadian terbongkar apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menemui sebuah telefon bimbit dipercayai milik suspek disorokkan di dalam tandas rumah berkenaan dalam keadaan sedang merakam.
“Kanak-kanak itu kemudian menyerahkan telefon bimbit berkenaan kepada ibunya sebelum laporan polis dibuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata, hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit yang dirampas mendapati terdapat beberapa rakaman video mengaibkan membabitkan mangsa serta anak-anaknya, dipercayai dirakam tanpa pengetahuan mereka ketika menggunakan bilik air.
“Siasatan awal mendapati sebanyak 10 klip video disimpan dalam telefon berkenaan dengan rakaman melibatkan mangsa serta dua orang anaknya.
“Suspek yang bekerja sebagai buruh dan tinggal serumah dengan mangsa turut dipersoalkan oleh ahli keluarga sebelum mengaku melakukan perbuatan tidak senonoh itu,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh serta Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan mangsa.
“Polis tidak akan berkompromi dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan tidak bermoral serta mencabul privasi orang lain, lebih-lebih lagi membabitkan ahli keluarga sendiri,” katanya. – Info X