Search

Timbalan Wiramuda STAR umum letak jawatan, keluar parti

January 12, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Timbalan Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Razzidin Robert, mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Razzidin berkata keputusan itu dibuat selepas membuat pertimbangan yang teliti dengan mengambil kira hala tuju serta keperluan dalam meneruskan khidmat kepada masyarakat.

Katanya, keputusan itu bukan sesuatu yang mudah, namun diyakini sebagai langkah paling wajar pada ketika ini demi kesinambungan peranan dan sumbangannya kepada rakyat.

“Saya ingin memaklumkan keputusan muktamad untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Exco Wiramuda STAR Sabah serta keluar sebagai ahli parti berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan parti, rakan seperjuangan, ahli serta penyokong STAR Sabah yang selama ini memberi kepercayaan, ruang dan kerjasama kepadanya.

Razzidin berkata segala pengalaman yang diperoleh sepanjang penglibatan dalam parti itu amat dihargai dan akan kekal menjadi asas penting dalam perjalanan politik serta khidmat masyarakatnya pada masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmennya untuk terus berbakti kepada masyarakat Sabah, khususnya di Parlimen Keningau, menerusi pendekatan yang lebih sesuai selaras dengan prinsip dan nilai yang dipegangnya.

“Saya akan terus berkhidmat kepada masyarakat demi Sabah yang lebih baik,” katanya.

Razzidin sebelum ini aktif dalam sayap Wiramuda STAR dan terlibat dalam pelbagai program kemasyarakatan serta pembangunan belia di peringkat akar umbi. – Info X