Search

Lesen luput undang padah, bot lampu ditahan di Tabawan

January 12, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Cubaan sebuah bot lampu beroperasi secara tidak sah berakhir apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam rondaan di perairan Tabawan, di sini, semalam.

Bot berkenaan ditahan jam 4.15 petang, di kedudukan 0.6 batu nautika tenggara Pulau Katung, ketika anggota bot ronda Maritim Malaysia menjalankan Op PLUTO TIMUR 2/2023 dan Op TIRIS 3.0 di bawah Zon Maritim Lahad Datu.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, pemeriksaan awal mendapati bot itu dikendalikan oleh dua kru warga Filipina berusia 44 dan 49 tahun, yang memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua kru berkenaan gagal mengemukakan lesen operasi yang masih berkuat kuasa ketika pemeriksaan dijalankan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot lampu ini menggunakan lesen yang telah tamat tempoh, sekali gus melanggar peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anggota Maritim Malaysia menahan bot lampu selepas didapati beroperasi secara tidak sah di perairan Tabawan, Lahad Datu.

Menurut beliau, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pengusaha bot nelayan yang ingkar undang-undang serta terus beroperasi secara haram.

“Susulan penahanan itu, bot bersama kru terbabit dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menyeru komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang laut.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 bagi memastikan keselamatan perairan terus terpelihara. – Info X