Search

Jumlah mangsa banjir di Beaufort kekal 366 setakat pagi ini

January 12, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Situasi banjir di daerah Beaufort, dilaporkan masih kekal setakat jam 8 pagi ini, membabitkan seramai 366 penduduk daripada 138 Ketua Isi Rumah (KIR).

Berdasarkan laporan terkini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, bencana berkenaan menjejaskan 10 buah kampung di daerah itu, menjadikan Beaufort satu-satunya daerah yang terlibat setakat ini.

Sebanyak dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa banjir, manakala tiada kematian dilaporkan.

Pemantauan peta bencana menunjukkan kebanyakan daerah lain di Sabah masih berada dalam keadaan terkawal dan tidak terjejas.

Pihak berkuasa negeri juga terus memantau situasi semasa bagi memastikan keselamatan penduduk, khususnya di kawasan berisiko rendah dan berhampiran sungai.

JPBN Sabah memaklumkan bahawa data bencana negeri setakat ini menunjukkan keadaan masih terkawal, namun penduduk dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi sebarang arahan pemindahan sekiranya keadaan cuaca dan paras air menunjukkan peningkatan.

Orang ramai juga digalakkan mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi bagi mengelakkan penularan maklumat tidak tepat. – Info X