KUDAT: Baru melangkah keluar dari tirai besi, lelaki berusia 30 tahun itu seolah-olah tidak serik. Belum sempat menikmati kebebasan, dia kembali dicekup polis dengan 150 gram dadah disyaki syabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi, suspek ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat ketika rondaan Ops Tapis di Kampung Landung Ayang Laut.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan telah menjumpai satu kotak warna oren yang ditemukan dalam milikan suspek.
“Pemeriksaan lanjut mengesahkan semua paket berkenaan mengandungi dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 150 gram.”
“Nilai rampasan dianggarkan sekitar RM15,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai pelbagai kesalahan berkaitan dadah termasuk di bawah Seksyen 39A(2), 39A(1), 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, malah pernah menjalani hukuman penjara sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati suspek mengaku memperoleh bekalan dadah daripada seorang lelaki yang kini sudah ditahan dan masih dalam reman polis.
“Suspek kini ditahan di Lokap Balai Polis Kudat untuk permohonan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Tambahnya, pihak polis akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan pengedaran dadah dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi memastikan kegiatan ini dapat dibendung. – Info X