KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar mengulangi jaminannya mengenai kecukupan bekalan beras di Sabah dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik susulan laporan kekurangan stok di beberapa daerah pedalaman.
Beliau berkata, setakat ini, stok simpanan beras negeri mampu menampung keperluan rakyat antara enam hingga sembilan bulan.
“Jika digabungkan dengan stok perdagangan, stok pemborong dan bekalan beras tempatan, jumlah keseluruhan bekalan beras di Sabah boleh bertahan sehingga sembilan bulan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jamawi menekankan Kerajaan Negeri sentiasa memantau keadaan bekalan makanan asas dan menasihatkan rakyat agar tidak panik.
Beliau berkata, arahan telah diberikan agar penghantaran bekalan beras putih import (BPI) pada harga mampu milik digerakkan segera dengan kuantiti yang besar ke Keningau, Sook, Tenom, Kemabong dan Sipitang.
“Semoga bekalan beras akan pulih seperti sediakala. Saya menyeru orang ramai supaya mengelakkan pembelian panik,” katanya.
Kelmarin, Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah, Datuk Dr Ramle Kasin bersama pegawai BERNAS Sabah, melakukan pemantauan stok beras di Pusat Simpanan Kolombong dan hasil pemeriksaan mendapati bekalan beras adalah stabil serta mencukupi.
Hasil tinjauan pagi ini pula, katanya mendapati bekalan beras sudah mula diedarkan di setiap kedai di Tenom, Kemabong, Sook dan Keningau.
Di Tenom saja, sebanyak 53 tan beras memasuki pasaran di kedai-kedai yang diuruskan oleh pengedar BERNAS, masing-masing PPK Tenom sebanyak 30 tan dan Sazarice 23 tan.
Jamawi berkata, keperluan sebulan adalah 470 tan metrik, manakala secara purata keperluan sehari dianggarkan sejumlah 16 tan metrik.
Sejumlah 70 tan metrik atau 15 peratus keperluan bekalan beras sedang dihantar pada Rabu, melebihi keperluan harian iaitu 16 tan sehari. – Info X