Search

Sambutan Ulang Tahun Tun Musa dibuat secara berhemah – Nizam

March 18, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Program Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada 30 Mac ini dibuat secara berhemah mengambil kira cabaran semasa ketika ini.

Menekankan perkara itu, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata walaupun pelbagai program disusun bagi mengisi sambutan itu bermula pada 27 Mac ini, ia tidak membabitkan kos yang banyak.

Beliau berkata, program yang diadakan pada sambutan tahun ini lebih menyeluruh berbanding pada tahun lalu, namun pihak penganjur mengambil pendekatan berhemah, sama seperti penganjuran acara kerajaan yang lain.

“Memandangkan sambutan pada tahun ini bukan pada bulan Ramadan, maka acara yang tidak dibuat pada tahun lalu kita adakan dalam sambutan kali ini.

“Bagaimanapun, ia tidak juga membabitkan kos yang banyak kerana apa yang penting ialah pengisian dan mesej program yang kita anjurkan sepanjang sambutan.

“Kita juga faham dalam dunia mencabar ini kita juga berhemah dalam apa juga penganjuran yang membabitkan acara rasmi kerajaan,” katanya pada sidang media penganjuran sambutan itu, di sini, pada Rabu.

Nizam yang juga Pengerusi Penganjur Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi TYT, berkata demikian ketika ditanya mengenai perbelanjaan ditanggung kerajaan bagi melaksanakan semua program yang disusun.

Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata, sebanyak 12 program disusun sepanjang sambutan pada tahun ini bermula dengan Majlis Kesyukuran, Doa Selamat dan Solat Hajat di Masjid Negeri pada 27 Mac.

Ia disusuli istiadat perbarisan dan penyampaian hadiah pertandingan kawad di Padang Merdeka Kota Kinabalu, Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran negeri di Istana Seri Kinabalu serta Jamuan Negeri di Dewan Bankuasi DUN Sabah pada 30 Mac.

Turut diadakan ialah Riadah Perpaduan Bersama TYT di Taman Tasik Kompleks Sukan Likas pada 11 April, acara menembak bersama TYT dan Kabinet negeri pada 12 April, Pameran Dirgahayu Tuan Yang Terutama di Muzium Tamadun Islam Sabah pada 16 April dan Perasmian Karya Perdana Pilihan Tahunan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 17 April.

Selepas itu program Perarakan Budaya dari Lintasan Deasoka ke SICC, disusuli perayaan Hari Etnik yang dijangka disertai lebih 100 persatuan etnik Sabah di SICC pada 25 April dan akhir sekali Majlis Jamuan Teh Bersama Kanak-Kanak di Dewan Masyarakat Tawau pada 30 April.

Nizam berkata, sebagai menteri Kabinet negeri yang memegang portfolio sukan, acara Riadah Perdana dimasukkan dalam sambutan bagi menggalakkan aktiviti sihat sambil merapatkan hubungan di antara pemimpin dan rakyat, khususnya TYT.

Acara itu, katanya turut diselitkan dengan sukan tradisi Sabah seperti ‘menyumpit’, ‘membujak’ dan ‘melastik’ bagi memeriahkan lagi program riadah bersama Tun Musa.

“Banyak aktiviti kita anjurkan berkaitan portfolio saya..selain perbarisan yang disertai ramai belia dan pelajar, kita juga mengadakan program Riadah Perpaduan di Taman Tasik Kompleks Sukan Likas pada 11 April.

“Ia adalah satu program untuk rakyat dapat bersama TYT agar mendekatkan lagi pemimpin dan rakyat. Jadi kita berharap orang ramai datang menyertai Riadah Perpaduan ini. Selain riadah berjalan kaki, kita juga akan mengadakan sukan tradisi ketika acara itu,” katanya.

Ends