Search

Lelaki cedera, kereta terbakar selepas langgar tiang lampu isyarat

March 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera di bahagian muka selepas kereta dipandunya terbakar dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Inanam Taipan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 30 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang lampu isyarat, menyebabkan kenderaan dipandunya terbakar hampir 90 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherryyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.42 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Proton Saga terbakar akibat melanggar tiang lampu isyarat.

“Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos salur bantu mula dengan sumber air daripada jentera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anggota bomba memadam kebakaran kereta di persimpangan lampu isyarat Inanam Taipan, Kota Kinabalu.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.04 pagi dan mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

“Selepas pemeriksaan akhir di lokasi mendapati keadaan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.23 pagi.

“Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. – Info X