KINABATANGAN: Sebuah bas ekspres membawa 39 penumpang terbabas ke bahu jalan di Jalan Kampung Paris 2, Jalan Sandakan – Lahad Datu, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, bas jenis Scania yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Semporna dipercayai hilang kawalan selepas cuba mengelak sebuah motosikal yang keluar secara mengejut dari simpang kiri.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Ravi Duraisamy berkata, tindakan mengelak itu menyebabkan bas berkenaan terbabas ke bahu jalan di kawasan berumput.
“Bagaimanapun, pemandu bas dan kesemua 39 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dan dilaporkan selamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 12.21 tengah hari sebelum anggota trafik digerakkan ke lokasi untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Kaedah Lalulintas 10 LN166/59,” katanya. – Info X