Search

Bawa kayu curi, dua lelaki positif dadah ditahan

May 9, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Cubaan dua lelaki warga Filipina membawa 35 batang kayu bergergaji dipercayai dicuri menggunakan sebuah bot di perairan Kunak terbantut apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), awal pagi tadi.

Lebih mengejutkan, kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine selepas menjalani ujian saringan air kencing.

Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 5 pagi hasil maklumat risikan menerusi Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0.

Katanya, sebuah vesel berwarna merah dikesan dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 0.3 batu nautika barat daya Jeti Pangkalan Kunak.

“Pemeriksaan mendapati beberapa batang kayu terapung diikat bersama vesel berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati vesel itu dikendalikan dua lelaki warga Filipina berusia 51 dan 33 tahun yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui 35 batang kayu bergergaji yang dipercayai dicuri dari kawasan Pulau Timbun Mata.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984/Enakmen Hutan 1968 Sabah, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Dadah Berbahaya 1952.

“APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan sumber hutan dan aktiviti jenayah maritim di perairan negara,” katanya. – Info X