TAWAU: Hanya kerana isu jualan buah mangga, seorang lelaki tergamak mengugut ibunya yang sudah berusia hingga hampir dipukul menggunakan kerusi kayu dalam kejadian di Kampung Tanjung Batu, Tanah Merah, di sini, semalam.
Suspek lelaki tempatan berusia 45 tahun dipercayai berang selepas seorang pelanggan membeli buah mangga daripada ibu bapanya menyebabkan mangga miliknya tidak terjual.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan kejadian itu, bapa suspek tampil membuat laporan polis.
“Berhubung kejadian tersebut, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek untuk siasatan lanjut.
“Suspek dikatakan tidak berpuas hati berhubung urusan jual beli mangga kerana seorang lelaki membeli mangga daripada ibu bapanya menyebabkan buahnya tidak terjual,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – Info X