TAWAU: Tindakan seorang lelaki menghalang tugas polis ketika operasi mengesan individu dikehendaki membawa padah apabila dia ditahan dalam kejadian di Kampung Blok 31 Batu 17, Jalan Apas Balung, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun dipercayai enggan memberi kerjasama selain bertindak membuat provokasi terhadap anggota polis yang menjalankan Ops Kesan Khas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau ke lokasi berkenaan bagi mengesan dan menahan seorang wanita yang dikehendaki berhubung satu laporan polis di Beaufort.
“Bagaimanapun, suspek yang juga suami kepada wanita berkenaan bertindak agresif dan enggan memberikan kerjasama ketika polis menjalankan tugas.
“Berlaku sedikit pergelutan sebelum suspek berjaya ditahan oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. – Info X