Search

PM umum lebih RM33 juta bangunkan infrastruktur, kesejahteraan rakyat Pulau Banggi

May 9, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan beberapa inisiatif pembangunan bernilai lebih RM33 juta bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memenuhi keperluan asas penduduk di Pulau Banggi, di sini.

Beliau berkata, inisiatif itu merangkumi peruntukan khas Kerajaan MADANI dan Jabatan Perdana Menteri bernilai lebih RM31 juta yang melibatkan pelbagai projek infrastruktur asas di pulau berkenaan.

Menurutnya, beberapa projek sudah mula dilaksanakan termasuk kerja naik taraf jalan dan jambatan di beberapa kampung seperti Kampung Limbuak Laut, Kapitangan, Damaran dan Bayangan Laut.

Selain itu, katanya, kerajaan turut melaksanakan projek naik taraf Balai Polis Pulau Banggi, penambahbaikan Klinik Kesihatan Karakit serta menaik taraf asrama sekolah di Banggi dan Balambangan.

“Turut diberi perhatian ialah pelaksanaan projek berkaitan keselamatan dan pertahanan negara selain menaik taraf Jeti Awam Karakit kepada Terminal Feri bagi kemudahan penduduk dan pelancong,” katanya menerusi kenyataan di Facebook selepas berucap di Karakit, Pulau Banggi.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2.25 juta bagi melaksanakan beberapa projek baharu untuk manfaat penduduk setempat.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM1.25 juta diperuntukkan bagi program pendidikan, pengupayaan institusi, teknologi hijau, kesihatan dan pembangunan insan di bawah Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Sebanyak RM1 juta lagi disalurkan untuk menaik taraf jeti di Kampung Dogoton bagi memberi manfaat kepada penduduk kampung serta agensi penguatkuasaan,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan komited memastikan penduduk di kawasan pulau terpencil turut menikmati pembangunan yang lebih adil dan selesa seperti kawasan lain di negara ini.

“Insya-Allah, ikhtiar ini bukan sekadar menambah baik kemudahan asas, tetapi memastikan rakyat di pulau terpencil ini menikmati pembangunan yang lebih adil, selesa dan bermaruah.

“Terpencil tetapi tidak sesekali terpinggir. Itu janji saya,” katanya. – Info X