Search

Pusat pemprosesan avokado bakal diwujudkan di Tenom

May 9, 2026

Info X Reporters

TENOM: Sebuah pusat pemprosesan hasil pertanian khususnya avokado bakal diwujudkan di daerah ini bagi membantu meningkatkan nilai pasaran hasil tanaman petani tempatan sekali gus memperkukuh industri avokado di Sabah.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, Tenom dipilih sebagai lokasi pembinaan pusat pemprosesan itu kerana kawasan pedalaman terutama daerah berkenaan merupakan antara pengeluar avokado terbesar di negeri ini.

Beliau berkata, pembinaan pusat pemprosesan itu juga bertujuan menangani rungutan pengusaha avokado kampung yang berdepan masalah harga jualan rendah berbanding varieti premium QAV1.

“Kita memahami tanaman avokado terbesar di negeri Sabah adalah di kawasan pedalaman terutama Tenom.
Sebab itu kita menjadikan kilang ini di sini kerana ada rungutan daripada pengusaha tanaman avokado kampung apabila memasarkan hasil mereka dengan harga agak murah berbanding varieti QAV1,” katanya selepas melawat tapak kilang memproses hasil pertanian di sini, pada Sabtu.

Menurut beliau, kementerian turut menggalakkan petani melakukan cantuman dewasa kepada varieti QAV1 bagi meningkatkan kualiti serta nilai komersial tanaman mereka.

Dalam masa sama, katanya, pusat pemprosesan itu akan membantu memanfaatkan buah avokado yang tidak sesuai dijual di pasaran segar.

“Ada hasil tanaman yang mungkin tidak boleh dijual ataupun mempunyai kualiti buah yang tidak sesuai untuk pasaran. Jadi kawasan ini akan diaktifkan sebagai tempat memproses hasil tanaman terutama avokado,” katanya.

Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, petani di Tenom disaran terus memperluaskan tanaman avokado memandangkan kapasiti pengeluaran pusat pemprosesan itu dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

“Kita kena ada jumlah hasil yang sesuai untuk memenuhi keperluan kilang ini,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga akan bekerjasama dengan persatuan penanam durian dan buah-buahan tropika bagi memperkukuh pemasaran hasil pertanian tempatan serta memperluaskan peluang pasaran kepada pengusaha di kawasan pedalaman.

Sementara itu, Jamawi berkata, kementeriannya turut memperkasa sektor perikanan darat melalui pembinaan jeti pendaratan ikan pertama di Tenom.

Katanya, pembinaan jeti itu mengambil kira aktiviti penangkapan ikan di Sungai Padas dan Sungai Pegalan yang menjadi sumber pendapatan nelayan darat di kawasan berkenaan.

“Malah buat pertama kalinya kita akan membina jeti guna tanah di kawasan Tenom kerana kita mengambil kira aktiviti penangkapan ikan di Sungai Padas dan Sungai Pegalan.

“Jika kita memanggilnya perikanan darat, mereka juga layak mendapat peluang dan kemudahan lain sama seperti nelayan yang menangkap ikan di laut,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini nelayan darat menjual hasil tangkapan di tepi jalan menggunakan kenderaan sendiri sehingga menimbulkan isu keselamatan dan kualiti ikan.

Menurutnya, fasiliti lebih baik akan disediakan termasuk kemudahan untuk pengunjung mendapatkan bekalan ikan air tawar selain menjadikan kawasan jeti sebagai lokasi aktiviti memancing.

Katanya, kerajaan juga mahu memastikan populasi ikan air tawar di Tenom terus terpelihara memandangkan kawasan itu masih bebas daripada serangan penyakit virus yang menjejaskan ikan pelian.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jifrin Mohammad; Pengarah Ko-Nelayan, Yusof Ag Besar; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Ramle Kasin; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Melalap, Denesly Justin serta pegawai kementerian. – Info X