KUDAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau kembali kenangan lawatannya ke Pulau Banggi kira-kira 32 tahun lalu ketika meletakkan batu asas pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi yang kini menjadi satu-satunya sekolah menengah di pulau berkenaan.
Menurut beliau, kunjungan ke Karakit baru-baru ini memberi makna tersendiri apabila berpeluang kembali menjejakkan kaki ke sekolah yang pernah dirasmikan pembinaannya pada 10 November 1994.
“Sebaik tiba di Karakit, saya dibawa ke SMK Banggi, lokasi sama yang pernah saya kunjungi sekitar 32 tahun lalu.
“Kunjungan ini menghimbau kembali lawatan saya pada 10 November 1994 untuk meletakkan batu asas dan melakukan pecah tanah sebagai simbolik permulaan pembinaan sekolah ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Anwar berkata, beliau turut berkesempatan bertemu bekas pengetua sekolah berkenaan, Abdul Kadir Junaidil yang memimpin SMK Banggi ketika mula membuka pintunya kepada pelajar pada 1997.
Beliau berkata, sebelum sekolah itu diwujudkan, ramai pelajar dari Pulau Banggi terpaksa ke tanah besar Kudat untuk menyambung persekolahan di peringkat menengah.
“Malah tidak kurang juga yang terhenti persekolahan kerana kekangan kos dan kesukaran perjalanan,” katanya.
Menurut beliau, perkembangan SMK Banggi yang kini berdiri megah menjadi simbol perubahan besar terhadap akses pendidikan masyarakat di pulau terpencil itu.
“Alhamdulillah, sekolah yang suatu ketika dahulu hanya sebuah tapak kini berdiri megah dan menjadi medan mencorak masa depan pulau terpencil ini.
“Pertemuan dengan anak-anak yang pernah menimba ilmu di sekolah ini dan telah melangkah jauh dalam kehidupan memberi makna besar buat saya,” katanya.
Anwar berkata, beliau berharap generasi muda Pulau Banggi terus berjaya dan kembali menyumbang kepada pembangunan masyarakat setempat.
“Semoga anak-anak Banggi terus berjaya, kembali menyumbang kepada masyarakat dan menjadi sebahagian daripada ikhtiar besar kita membangunkan pulau ini demi masa depan yang lebih adil dan bermaruah,” katanya. – Info X