TAWAU: Tindakan seorang lelaki membawa senjata berbahaya mengundang padah apabila dia dicekup polis dalam operasi di Kampung Bukit Kukusan, Jalan Tanjung Batu, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, suspek berusia 59 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau yang menjalankan operasi di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemui empat bilah taji ayam sepanjang kira-kira 15 sentimeter yang dipercayai miliknya.
“Semasa operasi, seorang lelaki ditahan bersama empat bilah taji ayam yang disimpan dalam milikannya.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek juga merupakan warga asing yang tinggal di daerah ini tanpa dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek bersama semua barang rampasan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X