KOTA KINABALU: Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai kini boleh berurusan secara digital menerusi Pusat Aduan Rakyat Digital (Kara-Di) bagi mengemukakan sebarang aduan.
Inisiatif itu yang dilancarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan melengkapkan peranan Pejabat Pusat Khidmat N16 Karambunai yang turut dilancarkan serentak pada Ahad.
Katanya, dua kemudahan itu disasar bagi memudahkan urusan rakyat di kawasan Karambunai, khususnya dalam menyalurkan aduan berkaitan masalah setempat yang dihadapi penduduk.
“Pusat Khidmat ini dibuka kepada orang ramai pada hari bekerja dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang bagi memudahkan penduduk menyampaikan sebarang aduan dan permasalahan.

“Kita juga melancarkan Pusat Aduan Rakyat Digital (Kara-Di) yang memboleh orang ramai mengimbas kod QR sekiranya ingin berjumpa saya atau membuat aduan secara digital,” katanya.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah, berkata penggunaan teknologi digital mampu membantu mempercepatkan proses penyampaian aduan dan tindakan susulan oleh pihak berkaitan.
“Kita gunakan teknologi, saya percaya tuan-tuan semua mempunyai telefon pintar dan boleh mengimbas kod QR yang akan diedarkan, khususnya bagi warga Karambunai berkaitan isu-isu dalam Karambunai.
“Boleh imbas dan membuat aduan di sana. Insya-Allah, saya memberi jaminan bahawa kita akan mengambil tindakan dengan segera bersama staf bagi memudahkan urusan semua,” katanya.
Ends