Search

Jaujan sihat, dakwaan telah meninggal dunia tidak berperikemanusiaan – Shafie

April 13, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menegaskan bahawa bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong, berada dalam keadaan sihat dan terus menjalankan tugas seperti biasa.

Beliau berkata demikian bagi menafikan penyebaran berita palsu yang mendakwa Jaujan telah meninggal dunia, yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab serta tidak berperikemanusiaan.

Menurutnya, dalam apa jua perbezaan politik sekalipun, terdapat batas yang tidak sepatutnya dilanggar oleh mana-mana pihak.

“Penyebaran berita kematian palsu bukan sahaja keterlaluan, malah mencerminkan betapa rendahnya nilai dan etika pihak yang melakukannya,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Shafie turut menyeru semua pihak agar menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih serta lebih bertanggungjawab dalam penggunaan platform media sosial.

Beliau menegaskan, fokus utama semua pihak seharusnya tertumpu kepada usaha berkhidmat kepada rakyat, bukannya mencipta atau menyebarkan fitnah yang boleh mengelirukan masyarakat.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan tidak berasas mengenai kematian Jaujan, sekali gus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan orang ramai. – Info X